Pusat Matrikulasi UIS ditubuhkan pada bulan Ogos 2008 bagi melaksanakan program-program di peringkat Asasi dan bertujuan menyediakan calon untuk peringkat Ijazah Pertama di UIS. Dengan kata lain, program-program yang ditawarkan di Pusat Matrikulasi ini merupakan ‘feeder’ program kepada program Sarjana Muda yang ditawarkan di Fakulti Pengajian. Melalui program-program yang ditawarkan UIS beriltizam untuk melahirkan pelajar-pelajar yang bakal menjadi pelajar cemerlang di peringkat ijazah pertama yang seterusnya menjadi graduan yang berkualiti, berketrampilan dan berdaya maju dalam bidang-bidang yang diceburi.
Program-program di peringkat pra-ijazah yang ditawarkan merupakan ‘feeder’ program kepada program sarjana muda UIS. Ia memberi dan menambah peluang pengajian pra-universiti kepada Bumiputra Islam sebelum melangkah ke peringkat ijazah pertama. Di samping itu, ia adalah laluan singkat ke peringkat ijazah pertama di UIS tanpa melalui program di peringkat diploma yang ditawarkan selama tiga tahun (atau enam semester). Justeru, pelajar lepasan SPM dari pelbagai jenis sekolah yang memperolehi pencapaian yang baik boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program pengajian di peringkat asasi ini.
- Menyediakan calon untuk kemasukan ke peringkat ijazah pertama UIS.
- Melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan mempunyai asas serta minat yang mendalam dalam bidang-bidang yang ditawarkan.
- Menyediakan pelajar-pelajar yang mampu mengekalkan kecemerlangan di peringkat ijazah pertama bagi menyokong matlamat UIS untuk menghasilkan graduan yang berkualiti dan berjaya merealisasikan motto Peneraju Budaya Ilmu.
Falsafah Pusat Matrikulasi adalah mendokong Falsafah UIS. Dengan kata lain, Falsafah UIS yang menjadi asas kepada penubuhan Pusat Matrikulasi ini amat applicable untuk Kursus Asas. Justeru pelajar-pelajar disediakan untuk memenuhi keperluan yang digariskan oleh UIS dengan mengambil kira pelaksanaan asas-asas pendidikan Islam, nilai-nilai dan cara hidup yang berlandaskan integrasi ilmu dan akhlak mulia.
Menjadi pusat kecemerlangan UIS dalam menjana ’Best Student'
Menjadi pusat pengajian ilmu asasi bagi menyumbang kepada peningkatan UIS sebagai pusat pengajian tinggi Islam bertaraf dunia dengan mendapat keredhaan Allah s.w.t.